Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 April. - Pada setiap 2 April, Negara Brunei Darussalam (NBD) bersama masyarakat antarabangsa memperingati Hari Kesedaran Autisme Sedunia, sebagai satu platform penting untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penerimaan masyarakat terhadap autisme.
Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk mendidik masyarakat, malah untuk memperkukuhkan lagi komitmen kita dalam memastikan kebajikan individu autistik sentiasa terjaga.
Tema bagi tahun 2026, 'Autisme dan Kemanusiaan - Setiap Nyawa Mempunyai Nilai', membawa mesej yang amat mendalam dan signifikan.
Ia menegaskan bahawa setiap individu autistik mempunyai nilai, potensi dan maruah yang setara dengan individu lain serta berhak untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang inklusif, penyayang dan menghormati kepelbagaian.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2026.
Tema ini juga mengingatkan kita bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan ekonomi tetapi juga melalui sejauh mana kita menghargai dan melindungi golongan yang memerlukan sokongan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan, Autisme atau Autism Spectrum Disorder, merupakan satu keadaan perkembangan neurologi yang mempengaruhi cara seseorang berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain.
Individu autistik, kata Yang Berhormat, mungkin menghadapi cabaran dalam komunikasi dan interaksi sosial, menunjukkan tingkah laku berulang serta mempunyai sensitiviti terhadap rangsangan deria seperti bunyi, cahaya dan sentuhan.
Namun demikian, autisme adalah satu spektrum yang luas, di mana setiap individu mempunyai keunikan, kebolehan dan keperluan yang berbeza. Justeru, pendekatan yang bersifat individu dan berfokus kepada kekuatan masing-masing adalah amat penting. Secara global jelas Yang Berhormat lagi, dianggarkan satu daripada seratus kanak-kanak berada dalam spektrum autisme.
“Di NBD pula, seramai 490 kanak-kanak telah didiagnosis dengan autisme pada tahun 2025, berbanding 272 kanak-kanak pada tahun 2024. Peningkatan ini mencerminkan tahap kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan masyarakat, di samping keberkesanan usaha pengesanan awal melalui perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan," ujar Yang Berhormat.
Walau bagaimanapun, peningkatan ini juga menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh, tersusun dan bersepadu dalam menangani keperluan individu autistik.
Ini termasuk memperkukuhkan sistem kesihatan melalui pengesanan awal perkembangan kanak-kanak, menyediakan intervensi yang berkesan dan berasaskan bukti serta memperluaskan akses kepada pendidikan khas dan sokongan sosial yang komprehensif.
Tambah Yang Berhormat, intervensi awal khususnya dalam tahun-tahun pertama kehidupan, adalah amat penting dalam membantu perkembangan komunikasi, kemahiran sosial dan keupayaan fungsi harian kanak-kanak autistik. Dalam hal ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menegaskan peranan ibu bapa dan penjaga adalah amat penting.
“Mereka ini merupakan individu yang paling hampir dengan anak-anak dan sering menjadi pihak pertama yang mengenal pasti sebarang kelewatan perkembangan.
“Oleh itu, ibu bapa adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan dengan segera sekiranya terdapat sebarang kebimbangan terhadap anak mereka," terangnya.
Walaupun perjalanan ini mungkin mencabar dari segi emosi, fizikal dan sosial, komitmen, kesabaran dan kasih sayang yang berterusan daripada ibu bapa adalah asas utama dalam membantu anak-anak mencapai potensi mereka sepenuhnya. Jelas Yang Berhormat lagi, di sebalik setiap individu autistik, terdapat keluarga yang menunjukkan ketabahan dan pengorbanan yang luar biasa.
Mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk keperluan penjagaan yang berterusan, tekanan emosi serta kekangan sumber. Oleh yang demikian, Yang Berhormat, menekankan sokongan berterusan daripada pihak kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat amatlah penting bagi memastikan keluarga-keluarga ini tidak berasa terpinggir, malah sentiasa diberikan bimbingan dan bantuan yang sewajarnya.
Kerajaan kata Yang Berhormat, melalui Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi berkaitan akan terus komited dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan, khususnya dalam aspek pengesanan awal, diagnosis dan intervensi.
“Usaha sedang giat dijalankan untuk meningkatkan kapasiti tenaga kerja kesihatan melalui latihan berterusan, penggunaan alat saringan yang sah dan berkesan serta mempercepatkan tempoh antara kebimbangan ibu bapa dan diagnosis rasmi.
“Langkah-langkah ini adalah penting bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat sokongan yang diperlukan pada masa yang tepat," tegas Yang Berhormat.
Namun demikian tambahnya, tanggungjawab untuk menghargai dan menyokong individu autistik tidak terletak pada kerajaan semata-mata, ia memerlukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat.
Institusi pendidikan perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan menyokong, majikan perlu membuka peluang pekerjaan yang adil, serta masyarakat umum perlu meningkatkan kefahaman serta mengamalkan sikap empati, hormat dan penerimaan terhadap individu autistik.
Pembinaan sebuah masyarakat yang inklusif, jelas Yang Berhormat lagi, memerlukan perubahan sikap dan tindakan yang berterusan.
Langkah-langkah kecil seperti bersabar, ujar Yang Berhormat, memahami keperluan individu autistik, serta menyediakan persekitaran yang mesra dan selamat boleh memberi impak yang besar dalam kehidupan mereka, ini kerana setiap individu berhak untuk merasa dihargai, diterima dan disokong dalam masyarakat.
Di kesempatan ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menganjurkan kita untuk sama-sama memperbaharui komitmen untuk membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan saksama.
“Kita bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga mengambil tindakan yang konkrit untuk memastikan setiap individu autistik diberi peluang yang adil untuk berkembang, menyumbang kepada masyarakat dan menjalani kehidupan yang bermaruah," jelas Yang Berhormat lagi.
Akhirnya, Yang Berhormat sekali lagi menjelaskan autisme dan kemanusiaan adalah saling berkait. Untuk menjadi sebuah masyarakat yang benar-benar maju dan berperikemanusiaan terangnya, kita hendaklah menerima dan menghargai setiap individu tanpa pengecualian.
Setiap kehidupan mempunyai nilai, dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan nilai tersebut terus diiktiraf, dihormati dan dipelihara, bermula dari hari ini.